Saturday, July 21, 2012

20 KE 8 ?


Solat  sunat Tarawih istimewa berbanding solat2 sunat yang lain kerana ia dilakukan pada bulan Ramadan, bulan yang terdapat padanya "satu malam yang seribu kali lebih hebat daripada seribu bulan" . Solat Tarawih juga digelar oleh nabi "Qiam Ramadan"
Sabda Rasulullah saw  bermaksud: " Sesiapa yang melakukan qiam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkannya segala dosa yang telah dilakukannya." ( riwayat al-bukhari)

" Ijmak ulama menyatakan bahawa solat Tarawih adalah sunat dan menurut pendapat ulama, ia harus dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian."

Sejarah Solat Terawih

Menurut Aisyah r.ha., pada mulanya Baginda mengerjakan solat Tarawih ini dimasjid, kemudian orang ramai mula mengikutnya. Pada malam berikutnya orang yang mengikutnya bertambah ramai. Tatapi pada malam ketiga dan keempat mereka berkumpul untuk solat tapi Baginda tidak hadir. Pada waktu subuh berikutnya, Rasulullah saw menjelaskan tindakannya malam itu,

 sabdanya : " Sesunguhnya aku melihat apa yang kamu lakukan, dan tiadalah menghalangku daripada keluar kepada kamu melainkan aku bimbang jika diwajibkan keatas kamu (solat Tarawih) pada bulan Ramadan" (riwayat al-bukhari)

Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Ikutlah sunahku dan sunah para Khulafa Rasyidin"

Sayidina Umar r.a. merupakan orang pertama yang mengumpulkan orang ramai untuk menunaikan solat Tarawih berjamaah dan beliau adalah salah saorang Khalifa Rashidin,maka kita diperintahkan mengikut beliau.

BILANGAN RAKAAT SOLAT TARAWIH

Ada  beberapa pendapat yang berbeza dari segi jumlah rakaat solat Tarawih.

20 RAKAAT

20 rakaat dengan sepuluh kali salam diikuti dengan 3 rakaat solat witir, ini bererti salam dilakukan selepas dua rekaat. Ini adalah pendapat mazhab Syafi’I, Daud al-Zahiri dan Hanafi.

Mazhab Hanafi
“ Kadar rakaatnya ialah 20 rakaat dalam 10 kali salam dan 5 kali ‘tarwilah(rehat) setiap 2 kali salam ada satu ‘tarwilah’

Mazhab Syafi’i
Khatib Syarbini mengatakan : ”Dan yang ketiga adalah solat Tarawih dan ia 20 rakaat”

Mazhab Hambali
Ibn Qudamah menyatakan: ” Dan pendapat yang dipilih di sisi Abu Abdullah(Imam Ahmad) dalam masaalah solat Tarawih ialah 20 rakaat”

Diriwayatkan daripada al-Saaib bin Yazid katanya: ” Mereka qiam pada zaman Sayidina Umar bin al-Khatab pada bulan Ramadan dengan 20 rakaat, mereka qiam dengan membaca 200 ayat, dan pada zaman Uthman mereka bertongkat kerana terlalu penat qiam”

8 RAKAAT

8 rakaat dengan 4 kali salam, serta solat witir, menurut sebahagian ulama ahli hadis dan muhaqqiqin.

Mereka berhujah dengan dalil Abu Salamah bin Abdul Rahman r.a. meriwayatkan dia pernah bertanya kepada Aisyah r.ha.: Maksudnya: ” Bagaimana solat Rasulullah saw pada bulan ramadan?’ Jawabnya, ”Baginda tidak menambah pada bulan ramadan dan tidak juga pada bulan lain lebih daripada sebelas rakaat. Baginda bersolat empat rakaat dan jangan kamu tanya tentang baik dan panjangnya. Kemudian Baginda bersolat empat rakaat dan jangan kamu tanya tentang baik dan panjangnya. Kemudian Baginda bersolat tiga rakaat ” Saya berkata, ” Ya Rasulullah adakah engkau tidur sebelum bersolat witir?” Jawab Baginda.” mataku tidur, tapi hatiku tidak tidur.”

” Jadi tepuk dada tanya ’Iman’ kita berapa rakaat solat Tarawih nak kita lakukan di bulan ramadan tahun ini, moga amal ibadat dalam Ramadan tahun ini lebih baik dari rRamadan yang lepas”






No comments: